Wednesday, October 15, 2008

Sejarah Penubuhan

Pada sekitar awal tahun 1988 beberapa individu yang terdiri dari pensyarah-pensyarah Universiti Sains Malaysia cawangan Perak, pensyarah-pensyarah Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan guru-guru Sekolah Kerajaan telah memulakan satu usaha untuk menubuhkan sebuah Sekolah Rendah Bersepadu yang menggabungkan pendidikan akademik dan agama. Selama ini pendidikan agama dan akademik agak terpisah dimana pendidikan akademik peringkat rendah dilaksanakan di Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan sementara pendidikan agama dijalankan di Sekolah-Sekolah Agama Rakyat di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri.

Justeru itu penubuhan Sekolah Rendah Bersepadu yang dihasratkan ini adalah dalam rangka untuk mengintegrasikan kedua-dua komponen tersebut dalam satu sistem pendidikan yang berkonsepkan Islam. Hasil perbincangan dan penelitian yang mendalam maka pada tahun 1989, pihak Lembaga Pendidikan Al-Hidayah dengan rasminya telah menubuhkan Sekolah Rendah Al-Hidayah.

Penubuhan Sekolah Rendah Al-Hidayah atau SRAH ini telah mendapat pengiktirafan dan kelulusan dari Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam, Perak pada 14 September 1989 bersamaan dengan 14 Safar 1410 melalui surat Bil(4) dlm JAPK/SUR/12/89.
Pada tahun 1997, enakmen baru pendidikan agama telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perak yang meminta semua Sekolah Rendah Agama Rakyat mendaftar semula dengan Jabatan Agama Islam Perak. Rentetan daripada itu, SRAH telahpun membuat pendaftaran semula dan diluluskan dengan pendaftaran barunya JAIPk / SRAR / IP.15/97.
Lihat lampiran

Selain bernaung di bawah Jabatan Agama Islam, SRAH juga telah mengorak langkah untuk bergabung dengan Pertubuhan Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Islam Malaysia atau MGBSIM dan juga MUSLEH. Ianya bertujuan untuk menyelaraskan perjalanan sekolah dan juga berkongsi pengalaman di antara sekolah-sekolah gabungan. Pertubuhan ini berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 April 1996. Sehingga kini MGBSIM masih beroperasi untuk menjayakan sekolah-sekolah gabungan ini dengan keizinan Lembaga Pengurusan Sekolah masing-masing dari segi tarbiyah dan perjalanan sekolah. Manakala MUSLEH pula dianggotai oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah Sekolah-sekolah gabungan dalam menguruskan segala urusan sekolah.

Selain itu, pendidikan di SRAH dijalankan mengikut dasar Akta Pendidikan Kebangsaan 1995 di bawah pentadbiran Lembaga Pengarah Pendidikan Al-Hidayah (LPPH) dengan menggunakan sukatan pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Sukatan pendidikan Islam pula dipadankan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Perak dan Musleh. Selain kurikulum, gerakerja ko-kurikulum juga ditekankan untuk memberi keseimbangan dan kesepaduan kepada pelajarnya dan sukatan gerakerja ko-kurikulum ini disepadukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Musleh


Meskipun kelengkapan pembelajarannya amat sederhana dan pengalaman guru yang masih baru tetapi ini tidak mengurangkan semangat mereka untuk memajukan SRAH pada ketika itu. Hari demi hari, SRAH bergerak hasil komitmen penuh pihak pentadbirannya dengan sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap pendidikan yang ditawarkan oleh SRAH.

No comments: