Wednesday, October 15, 2008

Sejarah Fizikal Dan Sumber Manusia

Sekolah Rendah Al-Hidayah mula beroperasi di sebuah rumah sewa ( banglo setingkat )
di No: 2, Jalan Madrasah, Rapat Setia pada 3 Januari 1989.
Bermula dengan satu kelas yang dijalankan dengan bantuan tiga orang kakitangan dan 21 orang murid, SRAH bergerak hasil komitmen penuh pihak pentadbirnya dengan sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap masa depan dan kemampuan pendidikan yang ditawarkan oleh sekolah.

Ini dinilai melalui permintaan yang semakin meningkat dari hari ke hari sehingga 3 tahun berikutnya iaitu pada tahun 1992 bilangan murid mencecah hampir 150 orang dan memaksa pihak lembaga menyewa 2 buah banglo lagi untuk menampung bilangan tersebut.

Pada tahun 1994, SRAH menghadapi ujian pertamanya apabila angkatan pertama SRAH menduduki peperiksaan UPSR yang sekaligus menguji taraf pendidikan akademik yang dijalankan di sini. Alhamdulillah, dari 14 orang calon, 3 orang daripadanya memperolehi pangkat 4A ( A dalam semua matapelajaran ).

Pada tahun 1996, pihak Lembaga Pendidikan Al-Hidayah telah melangkah satu tapak ke hadapan dengan penubuhan Sekolah Menengah Al-Hidayah sebagai kesinambungan dari pendidikan SRAH di peringkat rendah. Berbekalkan kesungguhan dan tawakkal, Sekolah Menengah Al-HIdayah atau SMAH kian maju ke hadapan meskipun di mulai dengan bilangan pelajar seramai 9 orang dan 4 orang kakitangan bertugas.

Setelah hampir 10 tahun, SRAH menyewa rumah banglo, maka pada tahun 1998, SRAH berpindah ke bangunannya sendiri di Lot: 20849, Persiaran Sepakat 7, Taman Indah Jaya. Tanah ini adalah anugerah Kerajaan Negeri kepada Jabatan Agama Islam Perak untuk diuruskan oleh Lembaga Pengarah Pusat Pendidikan Al-Hidayah. Di kawasan ini, SRAH dan SMAH ditempat dalam satu lokasi yang berkeluasan kira-kira 14 ekar yang kemudiannya dikenali sebagai Kompleks Pendidikan Al-Hidayah.

Sehingga kini ( tahun 2004 ), pelajar SRAH berjumlah 790 orang ( dari Tahun 1 hingga Tahun 6 ) dan bilangan guru seramai 60 orang serta seorang kerani manakala SMAH mempunyai pelajar seramai 181 orang, 17 orang guru dan seorang kerani.

Selain itu, kewujudan Pusat Pendidikan Hidayah ( Perak ) Berhad atau PPH yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pengurusan sekolah disamping mencari dana untuk pembangunan sekolah telah membantu mengurangkan masalah kewangan sekolah. Malah kini sumber kewangan sekolah tidak lagi hanya bergantung kepada pembayaran yuran murid sahaja apabila PPH mengorak langkah mengusahakan kantin dan kedai sekolah.

No comments: